JANGAN BERSEDIH
Hidup tidak selalunya indah, laut tidak selalunya tenang dan hari tidak selalunya cerah. Namun susahnya hidup, geloranya laut dan mendungnya hari bukan pencacat sebuah diari kehidupan. Setiap yang berlaku dan apa yang kita lalui itu ada hikmahnya. Ada cerita di sebaliknya. Kita perlu bersedia menghadapinya dan mencari maknanya supaya kita sentiasa ingat kepada Yang Maha Kuasa.
Perlu kita sedar dan yakin dalam apa jua situasi, Allah swt sentiasa bersama kita. Hanya kita sendiri yang seringkali menghindarkan diri dan alpa daripada Allah swt. Mungkin ada masanya kita terleka dengan sepoi angin bahagia dunia yang sementara. Atau mungkin kita berada di puncak kebimbangan yang sangat hamper dengan gaung kegagalan dan kekecewaan. Ini yang selalunya membuat kita jauh daripada Allah swt dan dilanda kesedihan. Terlalu bahagia atau terlalu senang akan membuat kita mudah terlena, terlalu sedih atau kecewa juga akan membuat kita mudah terbabas ke lorong suram.
Oleh itu hiburkanlah hati, tenangkanlah fikiran. Warnai hidup ini dengan bunga-bunga senyuman, dinginkanlah hati dengan salju ketabahan, wangikanlah suasana dengan renjisan kesabaran dan indahkanlah lagi dengan sentuhan keimanan. Hidup ini akan lebih bermakna dan diri kita akan lebih berharga. Pasti usia yang berlalu setiap saat tidak sia-sia.
Jangan bersedih, mungkin itu lafaz yang amat mudah dan ringkas. Makna dan jiwanya besar. Kita mohon kekuatan dan ketabahan daripada Allah swt bagi menghadapi kesusahan dan kesedihan. Apabila anda berada di pagi hari, janganlah menunggu waktu petang, kerana hari ini adalah kesempatan untuk hidup. Oleh itu, anda tidak perlu memikirkan hari kelmarin yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukan yang menghiasinya. Tidak juga dengan hari esok yang belum tentu datang…
From: Puan Hasmieza :]